RUMPUT NAPIER SEBAGAI SUMBER MAKANAN TERNAKAN



       
Sebelum ini, penternak memilih pelbagai jenis rumput yang mempunyai kadar protein agak rendah sebagai makanan utama untuk haiwan ternakan mereka. Kini penyelidik dan pakar pemakanan haiwan ternakan mendapati rumput napier adalah rumput terbaik diberikan kepada haiwan ternakan seperti lembu daging, lembu susu, kambing dan kambing susu. Ini kerana rumput napier selain tumbuh meliar di merata kawasan hutan kecil dan belukar tanpa mengira musim, juga mampu tumbuh sepanjang tahun. Jika ditanam secara ladang, ia senang tumbuh dan daya tumbuhnya cukup pesat, tidak bergantung kepada musim dan tidak memerlukan penjagaan. Bagi spesies rumput napier yang dibiak secara saintifik, terdapat tiga variasi rumput itu yang paling terkenal dan terbaik untuk ternakan ruminan iaitu Napier Taiwan, Napier India dan Napier Pakchong 1 Thailand. Daripada ketiga-tiganya, rumput hibrid Napier Pakchong 1 Thailand adalah yang terbaik setakat ini. Rumput tersebut mampu menghasilkan sehingga 200 peratus bekalan makanan haiwan kepada penternak berbanding dengan rumput napier jenis lain.

      Secara umumnya, rumput tersebut boleh ditanam dua hingga tiga kali setahun. Jika keluasan ladang berukuran satu hektar, rumput napier jenis biasa hanya mampu membekalkan makanan untuk 18 hingga 20 ekor lembu sahaja, manakala rumput Napier Pakchong 1 Thailand mampu membekalkan makanan untuk 30 ekor lembu. Selain itu, rumput Napier Pakchong 1 Thailand mampu menghasilkan makanan untuk haiwan ternakan antara 450 hingga 600 tan metrik sehektar berbanding dengan rumput napier lain yang hanya mampu menghasilkan antara 275 hingga 350 metrik tan rumput sahaja.

       Di sebalik kisah rumput Napier Pakchong 1 Thailand itu, sebenarnya ia adalah hasil penyelidikan seorang pakar pemakanan haiwan ternakan terkenal di negara Gajah Putih itu. Pakar yang dimaksudkan itu adalah Profesor Dr. Krailas Kiyothong yang bertugas di Jabatan Pembangunan Ternakan, Kementerian Pertanian Dan Koperasi Thailand. Beliau ditemui dalam satu siri Jelajah Pak Chong oleh sekumpulan 60 ahli Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) yang berkunjung ke Thailand baru-baru ini, bagi mempelajari dan mendalami ilmu berkaitan pemakanan haiwan ternakan.

     Dalam kunjungan ke ladang rumput Napier Pakchong 1 di daerah Pak Chong dalam wilayah Nakhon Ratchasima, Dr. Krailas memberi penerangan berkaitan kebaikan dan kelebihan variasi rumput Napier Pakchong 1 Thailand hasil penyelidikannya. Kunjungan yang diketuai Timbalan Presiden GTR, Nordin Mat itu ternyata membuka mata ahli-ahli GTR yang merupakan penternak ruminan dari seluruh negara. Menurut Prof. Dr. Krailas, rumput Napier Pakcong 1 Thailand mempunyai jangka hayat yang lama iaitu lapan hingga sembilan tahun. Rumput tersebut tumbuh dengan akar yang dalam, selain kaya dengan nutrisi. Ketika musim kering, rumput tersebut hanya perlu disiram sekali dalam seminggu, selain amat sesuai untuk dibuat makanan haiwan dalam bentuk silaj. Daunnya pula kurang berduri yang boleh menyebabkan kegatalan berbanding dengan rumput napier lain. “Kami sedia bekerjasama dengan ahli-ahli GTR untuk membawa masuk kaedah penanaman rumput Napier Pakchong 1 Thailand ke Malaysia kerana rumput ini telah terbukti berjaya meningkatkan pengeluaran lembu daging dan juga susu oleh para penternak di daerah Pak Chong sejak beberapa tahun lalu”, jelas beliau ketika menyampaikan taklimat kepada ahli-ahli GTR di pejabatnya baru-baru ini. Prof. Dr. Krailas sebelum itu berjaya meyakinkan penternak lembu dan kambing di daerah Pak Chong, Thailand untuk mengembangkan penanaman rumput hibrid Napier Pakchong 1 Thailand hasil penyelidikannya. Dari situlah juga, nama rumput hibrid itu diberikan oleh Prof. Dr. Krailas di mana pusat penyelidikannya juga terletak di daerah Pak Chong.

      Bagi mempromosikan rumput tersebut, beliau telah menjelajah dari kampung ke kampung untuk menemui penternak dan mengagihkan sebatang keratan rumput Napier Pakchong 1 Thailand kepada setiap penternak di daerah berkenaan. Usaha Prof. Dr. Krailas itu ternyata berbaloi dan membuahkan hasil apabila penternak mula menanam rumput tersebut bermula secara kecil-kecilan dan akhirnya dalam bentuk ladang yang luas. Mereka sangat berpuas hati dengan hasilnya yang cepat tumbuh membiak, selain sangat berkhasiat kepada haiwan ternakan. Para penternak seolah-olah mendapat nafas baru dengan adanya rumput hibrid Napier Pakchong 1 Thailand hasil penyelidikan Prof. Dr. Krailas. Bagi Nordin pula, adalah menjadi hasrat GTR untuk mengembangkan lagi industri ternakan ruminan di negara ini.

    Ia boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah termasuk mengadakan jalinan kerjasama dengan penternak dan penyelidik dari negara-negara jiran seperti Thailand yang lebih maju dalam industri tersebut.
Nordin yang berpengalaman luas lebih 15 tahun dalam sektor penternakan, mempunyai hubungan baik dengan pelbagai pihak di luar negara termasuk di Australia, Indonesia, Thailand dan Pakistan. Beliau berhubung secara terus dengan Prof. Dr. Krailas untuk menjalin kerjasama dalam membantu ahli-ahli GTR mengembangkan dan memajukan lagi sektor ternakan yang diceburi.

     “GTR bukan sekadar sebuah kelab yang mengumpul para penternak ruminan untuk bersosial, sebaliknya kami juga merupakan pengusaha dan penternak tegar yang telah berikrar untuk memajukan lagi sektor ini,” jelas Nordin.


© Utusan Melayu (M) Bhd